Friday, December 30, 2016

Berikan yang terbaik untuk hari ini...

As salam...

Ketika solat jumaat semalam, melihat perniaga yang berniaga hati terdetik seketika sesungguhnya... dengan sedikit kemahuan dan usaha maka rezeki Allah ada di mana-mana. Tetapi... kita sebagai seorang manusia kena ingat selalu bahawa rezeki atau sesuatu hak kita belum tentu ia rezeki kita 100% atau hak mutlak kita selamanya.

Ibaratnya disini, walaupun makanan itu sudah berada di dalam mulut yang kita pasti memang hak kita kerana ia dikunyah dan nampak ke mana ia akan pergi... belum tentu ia rezeki kita.... mana tahu sebelum sampai ke perut lalu di tekak... kita tersedak atau terbersin maka keluar la ia... itu membuktikan bahawa ia bukan rezeki kita.

Jadinya, pengajaran yang perlu kita ambil ialah rezeki yang kita perolehi kita perlulah selalu bersyukur, hargainya dan jagainya sebaik mungkin. Kerana rezeki itu bila-bila masa ia boleh ditarik kembali. Kita bukan pak nujum yang boleh meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Jangan kita rasa terlalu selesa iaini terlalu yakin bahawa sesuatu itu ia rezeki ataupun milik kita... amanah telah diberi... sebagai seorang insan terpulang ditangan kita bagaimana mencoraknya...

Berikan yang terbaik untuk hari ini...






Thursday, December 29, 2016

2016

Assalamualaikum...

Hari jumaat yang penuh dengan barakah dirasakan tenang dan damai hati ini samping orang tersayang.  terasa lain sangat hari ini, mungkin kerana jumaat terakhir dalam tahun 2016, macam-macam ada rasa sayu, tenang, dan bersyukur.

Sayu... akan meninggalkan tahun 2016  di mana peristiwa kami kehilangan ayahanda tercinta pada 20 Februari 2016, terasa kehilangan yang amat terasa sehingga diri ini mengambil masa untuk menerima dan redha ayahanda telah tiada... Insyallah kita akan jumpa lagi di sana nanti... ayah.

Tenang... kerana telah dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada keluarganya, tanggungjawab sebagai seorang hambanya dan tanggungjawab kepada insan-insan yang tersayang.
"Ya Allah... kau kekalkan dan suburkan lah rasa kasih sayang serta cinta antara aku dengan insan tersayang bagi tahun 2017 nanti".  


Syukur... dengan segala rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. rezeki yang datang untuk diri dan keluarga ini sangat-sangat melimpah ruah dan tidak disangkakan. Syukur dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalankan tanggungjawab. Syukur dikurniakan anak-anak yang sangat-sangat membahagiakan. Alhamdulilah.

  

Wednesday, December 28, 2016

sabar

As salam...

Sabar itu merupakan satu sifat rohani dalaman yang sangat mulia, dimana kesabaran seseorang bergantung kepada cara seseorang itu mengendalikannya. Tetapi kita manusia biasa... ada masa kesabaran kita sangat-sangat diuji sehinggakan kita terlepas kata dan perlakuan...

Kadang kala... sabar kita sangat tebal sehinggakan kita masih boleh tersenyum walaupun diuji dengan pelbagai masalah. Tetapi ada masa sabar kita sangat nipis sehinggakan kita sangat cepat sensitif...

Diri ini selalu berdoa, agar Allah berikan aku kesabaran yang tinggi untuk berdepan dengan dugaan hidup dan manusia yang pelbagai ragam.


Sunday, December 25, 2016

24 jam

As salam...

Rasanya hampir tiga hari blog ni tidak diupdate... ya la banyak hal yang terpaksa didahulukan. Kini ada sedikit masa terluang... boleh la update blog ini... hihi.

Masa itu sangat penting diuruskan oleh kita. Dengan pengurusan masa yang baik semua kita dapat lakukan dengan lancar dan sempurna. Masa untuk diri perlu ada bagi saya, masa dimana kita bersendirian berehat, melakukan aktiviti yang kita minati dan bersama orang tersayang. Baru la masa bersama anak-anak, masa untuk kerja, keluarga dan sebagainya.

24 jam setiap hari diperuntukkan jika tidak diuruskan maka diberi beratus jam sehari pun tidak akan bermakna. Kadang-kadang kita terlupa masa bersama-sama anak-anak kerana sibuk berkerja... bagi saya orang cemerlang dan hebat di tempat kerja tetapi tiada masa untuk anak-anak dan keluarga maka orang ini dalam kumpulan gagal dan rugi.



Thursday, December 22, 2016

Ustaz Kazim

As salam...

Malam tadi sebelum melelapkan mata terbaca dalam portal khabar online mengisahkan anak-anak zaman sekarang yang sanggup meninggalkan ibu bapa di stesyen bas atau di rumah tumpangan semata-mata tidak sanggup memikul beban menjaga mereka. Hati ini sebak dan sayu menatap wajah insan yang banyak berkorban menangis meratap tidak percaya sanggupnya anak mereka memperlakukan mereka sebegitu rupa.

Kalau bab-bab ini memang saya tidak boleh berkompromi, sebab itulah setiap kali apabila saya memberikan ucapan rasmi dalam setiap taklimat atau mesyuarat yang dihadiri pastinya saya akan menyelitkan bertapa penting dan utamanya keluarga dan jika ada peserta yang bermasalah dengan urusan anak-anak atau ibu bapa contohnya anak sakit atau ada mak yang terpaksa dibawa ke klinik untuk pemeriksaan bulanan pada hari itu... saya akan minta mereka utamakan urusan keluarga dahulu dan barulah kerja yang lain selepas itu.

Kenapa seorang ibu boleh membesarkan sepuluh orang anak dan sedangkan sepuluh anak tidak boleh menjaga seorang ibu. Terasa takut dan ngeri bila dikenangkan adakah mungkin terjadi pada diri saya.... semuanya tidak mustahil!. Nauzubilah... minta dijauhkan. Tetapi diri ini sentiasa berdoa agar anak-anak saya semua tidak akan lupa jasa ibu bapa mereka.

Ayah dan mama sentiasa mencurahkan kasih sayang dan memberikan bimbingan serta tunjuk ajar ilmu dunia dan ilmu akhirat kepada kalian semua. Insyallah... dengan bekalan itu semua pasti cukup untuk mereka menjadi insan yang terbaik.

Setiap pagi pasti jari ini akan mendail nombor insan yang dicintai untuk bertanya khabar pada hari tersebut. Perkara yang saya akan pasti lakukan dan telah menjadi rutin sebelum melakukan kerja harian lain.

Suara yang sentiasa tenang  dan mendamaikan hati ini. Sesiapa sahaja pastikan bersetuju dengan pendapat saya ini. Suara yang bertarung nyawa untuk melahirkan kita. Pastinya apa yang ustaz kazim pernah perkatakan sentiasa menjadi ingatan iaitu... "jangan sampai ibu bapa kita telefon kita bertanya khabar dek kerana perasaan rindu kepada kita, maka jatuhlah kita sebagai anak yang derhaka!". Sanggupkah kita menjadi anak yang bergini....?



Wednesday, December 21, 2016

Dengan ilmu sahaja lah kita akan sentiasa sedar siapa diri kita ini...

As salam...

Diri ini... apabila buka sahaja mata dari tidur akan sentiasa bersyukur dengan segala anugerah yang telah diberikan olehNya. Nikmat dapat menjalani sehari lagi kehidupan di atas muka bumi ini pasti tidak akan dipersiakan untuk menjadi insan yang lebih dari hari semalam.

Hati ini sentiasa tenang dapat melihat insan-insan yang disayang membesar di depan mata. Terutama anak-anak, sesungguhnya anda semua nyawa bagi ayah untuk terus gagah menempuh dugaan dan cabaran di dunia ini.

Maafkan ayah jika selama ini ayah bukan lah ayah yang terbaik buat kalian semua, tetapi ayah cuba sedaya upaya untuk sampai ketahap itu. Salah satu sebab utama blog ini dibina antaranya ialah untuk memberi ruang dan peluang kepada ayah meluahkan dan mencurahkan segala rasa hati ini yang menggambarkan bertapa besarnya rasa kasih dan sayang untuk anak-anak ayah semua. Semoga satu hari nanti apabila ayah telah tiada lagi... jika kamu semua berpeluang membaca blog ini pastinya dapat merasai sendiri bertapa ayah kamu ini cinta dan kasih kepada kalian.


Ayah sentiasa mendoakan kalian semua akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Antara bait ayat yang ayah sentiasa sisipkan ketika berdoa ialah semoga anak-anak ayah mencari ilmu setinggi yang boleh.

kerana dengan ilmu sahaja lah kita akan menjadi insan berjaya...

Kerana dengan ilmu sahaja lah kita akan menjadi insan yang sentiasa ingin menjadi yang terbaik dari yang sebelumnya...

Kerana dengan ilmu sahaja lah kita akan sentiasa sedar siapa diri kita ini...




Tuesday, December 20, 2016

alah membeli menang memakai

Assalamualaikum...

Dua minggu lagi sekolah akan dibuka untuk sesi 2017. Persiapan untuk anak-anak telah disediakan lebih awal untuk mengelakkan kelam kabut disaat akhir. Perbelanjaan yang dilakukan dirasakan lebih berhemah dengan membelikan mana yang perlu sahaja, mana masih dan boleh dipakai tahun hadapan akan terus digunakan.

Ada kehendak anak-anak yang boleh kita penuhi, dimana diharap ia sebagai satu pemangkin untuk mereka terus bersemangat dan berjaya. Ada juga kehendak dan permintaan anak-anak yang dirasakan kurang sesuai untuk kita ikuti... tetapi sebagai ibubapa sebolehnya kita akan cuba menggembirakan mereka.

Dengan keadaan ekonomi serta harga barang yang melambung tinggi kini kita perlu bijak memilih dimana dan berapa harganya. Selalu ingat dalam diri ini, yang tidak semua barang yang murah untung kita membelinya. Contoh pernah yaya menukar beg sekolah 3 kali dalam setahun! kerana inginkan harga yang murah tetapi kualiti yang sangat teruk dengan masalah roda beg rosak la, tali putus la,  dan zip yang tersekat. Akhirnya harga 3 beg tersebut kalau dihitung lebih mahal daripada sebuah beg yang berjenama tetapi kualiti yang terbaik.

Pasti ada yang berkata semua itu mengikut kemampuan... betul. Tetapi bagi saya kita perlu bijak berbelanja contohnya baju dan seluar boleh sahaja... setakat kita beli di kedai-kedai biasa. Boleh je kan...hihi tetapi kalau beg beli la yang baik. Supaya tahan lama. Ibarat (alah membeli menang memakai)






Monday, December 19, 2016

PT3

As salam semua...

Semalam 19hb Disember 2016 keluarlah keputusan Pt3 (Pentaksiran Tingkatan 3). Pastinya air mata kegembiraan atau kesedihan bagi setiap calon yang mendudukinya.

Yang pasti antara insan yang akan merasai semua itu ialah kedua ibubapa mereka. Jikalau keputusan yang cemerlang diperolehi oleh anak maka rasa bangga dan bersyukur terbit dalam diri mereka. Terasa hilang penat bersusah payah memastikan keperluan si anak dapat dipenuhi contohnya menghantar dan menjemput anak pergi kelas tambahan, membeli buku dan banyak lagi pengorbanan ibu bapa kalau dihitung tiada penghujungnya dan kasih mereka seluas lautan yang tiada sempadannya.

Tetapi jika keputusan si anak sungguh menduka cita kan... ibubapa la insan yang paling sedih dan kecewa tiada apa yang mereka harapkan hanya keputusan yang cemerlang tetapi...

Wahai sang ibu dan sang ayah... anggap la ini semua dugaan kecil buat kalian semua mungkin ada khidmah yang kita sebagai insan kerdil yang tidak nampak. Teruslah memberi semangat untuk anak-anakmu semua, jangan dipatahkan semangat mereka kerana kita bukan sang nujum yang tahu apa yang akan berlaku masa hadapan, belum tentu anak-anakmu ini tidak berjaya dalam hidup mereka kelak. Teruskan berdoa yang baik-baik untuk mereka... insyallah, doa dan restu kalian semua pasti hidup mereka diberkati dan dirahmati.

Kirin... pak ngah sentiasa doakan kamu menjadi anak yang menyenangkan dan akan menjadi kebanggaan kedua ibubapamu...




Sunday, December 18, 2016

As salam...

As salam...

Hari ini terasa ingin bercerita tentang perlunya pengisian masa lapang dengan sesuatu aktiviti yang berfaedah kerana ada juga aktiviti yang dipenuhkan dengan sesuatu yang melalaikan contohnya seharian menonton tv atau pun mengadap ipad. Dari pembacaan yang boleh dikongsi bersama ialah kesan melihat ipad selama 5 jam sehari walaupun tidak secara berterus apabila discan otaknya didapati ada lubang-lubang wujud pada otak kita yang akan menyebabkan cepat timbul perasaan amarah.

Selalu diri ini mengingatkan anak-anak agar sentiasa pupuk tabiat membaca kerana ia merupakan sesuatu aktiviti yang sangat berfaedah sepanjang hidup kita. Tiba-tiba teringat... dimana pernah ketika menunggu di luar dewan peperiksaan semester tiga pengajian master saya, bersama menunggu insan yang telah berumur dalam lingkungan 50an dengan muka yang tenang untuk menghadapi peperiksaan. Saya bertegur sapa dengan beliau dan bertanya masih berminat dan berupaya untuk menuntut ilmu walaupun di usia tua, dengan senyuman beliau berkata saya berlajar sampai sekarang kerana takut menjadi nyanyuk menurut kata beliau dengan banyak membaca otak kita akan sentiasa berfungsi dan digunakan serta mengelakkan dari lupa dan nyanyuk.

Nampakkan... bertapa hebatnya jika kita membaca. Jangan duduk diam ambil buku atau apa sahaja yang boleh dibuat bacaan. Tabiat pelik yang pernah ditegur oleh adik saya ialah saya suka membaca akhbar-akhbar lama... hihi... saya rasa tidak rugi kita membaca tetapi kita lagi rugi jika kita terus tidak membaca.

Contohnya saya menulis blog ini...
Kerana banyak membaca saya boleh menulis dan berkongsi cerita dari pengalaman dan pembacaan saya. Dimana ayat yang boleh dikongsi ialah "dengan membaca maka bermulanya kita menulis".


Saturday, December 17, 2016

pulau pulak

As salam...

Semalam petang kami semua selamat sampai ke rumah masing-masing dari Kuala Lumpur selepas selesai seminggu bercuti bersama keluarga dimana destinasi terakhir kami ialah rumah mak cik dan cik safran sempena majlis menyambut menantu. Sedap sungguh nasi beriani dan juadah kuih muih yang telah disediakan. Sungguh istimewa majlis tersebut dengan bantuan dari rakan-rakan mereka dari seni silat cekak Malaysia. Nampak bersatu hatinya apabila bersama-sama menguruskan perjalanan majlis supaya lancar dan teratur.

Dengan destinasi di rumah mak cik maka berakhirlah program percutian kami dan boleh dikatakan bahawa kami semua telah berjaya melakukan aktiviti dwitahunan keluarga selepas hampir setahun merancang. Terasa erat dan rapat hubungan antara adik beradik kerana banyak ruang untuk kami bercerita dan bergurau, begitu juga hubungan antara anak-anak dengan sepupu mereka kerana semua aktiviti dilakukan bersama-sama... dan itu lah matlamat sebenar kami.

Tanpa kata sepakat dan hubungan yang erat rasanya semua ini tidak akan berjaya dilakukan. Paling indah dikenang ialah setiap keluarga diminta untuk menyediakan satu lauk yang telah dibekukan dan akan panaskan semula di sepanjang destinasi yang telah ditetapkan oleh mak teh dan ini sangat menjimatkan!. Satu lagi kenangan tidak akan dilupakan ialah kami semua makan bersama-sama pada malam sampai di Morib. Dengan masakan yang sungguh enak terutama sambal siput buluhnya ditambah suasana yang bagi saya sangat mendamaikan kerana kedai tersebut betul-betul ditepi pantai jelas kedengaran bunyi ombak dan bau lautnya.

Insyallah, ada rezeki lagi kita semua akan bercuti. Selepas ini rasanya teringin bercuti di pulau pulak. Hihihi...

Friday, December 16, 2016

Wasupp Yooooo.....

As salam...

Rakan terbaik adalah rakan yang berada disamping kita semasa senang dan susah. Susah nak cari persahabatan sampai tahap bergitu. Yang pasti ramai kenal kita apabila kita senang, ada kedudukan dan pangkat.

Dengan teknologi komunikasi terkini, wasupp lah appalication penghubung silaturahim antara kami. Jangan terperanjat saya mempumyai kumpulan wasupp bermula dari Sek. Rendah, kumpulan Sek. Men, kumpulan semasa di kolej, kumpulan sedara mara, kumpulan sepupu, untuk berkerja sahaja ada 5 kumpulan ya lah... semua ini untuk memudahkan komunikasi dan memberi maklumat dengan pantas.

Di dalam kumpulan wasupp ini, saya lebih banyak berdiam dan membaca, perkara perlu sahaja saya mencelah, bukannya sombong tetapi diam itu lebih baik dari berkata-kata kan...

Cuma kalau bab menjelang hari raya sahaja rasanya diri ini lebih gemar dengan memberi kad berbanding dengan menghantar ucapan dengan menggunakan wasupp. Rasanya lebih dekat dan nostalgia... dan jangan la ada yang menghantar jemputan majlis kahwin dengan menggunakan wasupp selepas ini. Bagi saya teknologi terkini kita perlukan tetapi teknologi dahulu jangan dilupakan...


Thursday, December 15, 2016

Yaya

As salam...

Tadi semasa makan malam, yaya yang duduk disebelah tiba-tiba cium pipi ini, tersentuh dan sebak rasanya... cepat-cepat dia cakap "tq ayah bawa yaya pergi jalan-jalan, yaya seronok sangat".

Demi anak-anak, apa sahaja saya sanggup lakukan... sehingga segala berkaitan dengan mereka menjadi keutamaan berbanding yang lain, ayah sangat sayang kamu semua adam, yasmine, yaya dan mohd... demi kamu semua ayah sanggup lakukan apa saja... itu kasih dan cinta antara seorang ayah dengan anak-anaknya.

Begitu juga dengan cinta sesama insan, kita sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengharapkan balasan kerana cinta yang lahir dari hati yang suci dan ikhlas... adalah cinta yang sejati. Kalau ada yg bertanya pernah ke saya merasai apa itu cinta.... jawapannya ya... hahaha.

Hanya Dia sahaja tahu bertapa hebatnya penangan cinta ini. Setiap saat, setiap detik kita teringat, rindu dan terbayangkan si dia... insyallah... semua orang akan merasainya.

Cinta sesuatu perasaan yang sangat misteri... kerana ia hadir bukan diundang dan bukan boleh dipaksa-paksa... tetapi ada juga yang tidak bersyukur dengan anugerah yang diberikan ini dan mengkhianati cinta.

Wednesday, December 14, 2016

Aku tau kau kuat Anim... !!!

As salam...

Alhamdulilah kita masih bernafas lagi dan diberi seribu kenikmatan yang tidak terhingga oleh Nya. Nikmat yang utama yang tiada tolok banding dan tidak boleh dijual beli ialah nikmat kesihatan.

Semalam terasa kuat terpanggil untuk berwasupp dengan rakan baik yang sama-sama belajar di Johor Bahru dahulu. Kerana selalu dia lah yang akan rajin bertanya khabar. Lama baru beliau balas dengan menyatakan sekarang beliau sibuk bergilir-gilir adik beradik menjaga ayah tercinta yang sekarang sedang bertarung melawan kanser usus berada di tahap 4 dan kuman telah pun merebak ke peparu dan hati... Allah Huakbar...

Terus teringat arwah ayah yang pernah kami jaga sekeluarga ketika arwah terpaksa kakinya dipotong kerana diabetes yang kronik. Ketika itu kerjasama antara adik beradik sangat perlu dan berfikiran positif sentiasa. Pernah terbaca dan menjadi pegangan sampai sekarang iaitu " kita jangan tanya berapa banyak sumbangan adik beradik lain pada ibubapa kita, tetapi kita perlu tanya diri kita sendiri berapa banyak sudah sumbangan yang telah kita berikan untuk mereka, jangan sampai apabila mereka telah tiada kita tercari-cari apa sumbangan kita kepada mereka".

Kepada Anim sekeluarga, sabar dan pakat baik-baik antara beradik, berikan layanan terbaik dari segi fizikal dan emosi untuk ayah tercinta. Kerana itulah ayah kita di dunia sampai la akhirat tiada duanya. Insyallah... semua yang kita berikan akan berbalik kepada diri kita semula. 

Aku tau kau kuat Anim... !!!




Tuesday, December 13, 2016

"kita perlu ingat jasa seseorang walaupun sebesar biji sawi"

As salam...

Tadi petang semasa berjalan - jalan di pasar malam cameron... saya telah dapat panggilan dari seorang rakan, yang memaklumkan bahawa kenalan yang pernah sama-sama menyertai aktiviti di gua batu maloi telah kembali ke rahmatuallah. Inalillah...

Sebelum ini pernah tahu yang beliau sakit... tetapi ialah beranggapan yang kita bukannya sentiasa sihat betul tak...Tidak perlu lah diulas sakit apa yang menyebabkan pemergian beliau. Bagi saya, yang perlu kita kenang dan cerita sekarang ini ialah kebaikan seseorang. Walau macam mana jahat pun seseorang manusia itu, pasti ada kebaikan yang pernah dilakukan. Saya selalu pegang kata-kata seorang sahabat baik "kita perlu ingat jasa seseorang walaupun sebesar biji sawi"

Walaupun hanya sekali berjumpa bersama-sama ketika menyertai program outdoor pada 2012, arwah seorang yang sangat merendah diri walaupun mempunyai pekerjaan yang hebat, sangat pemurah dan sentiasa membantu jika ada yang mengalami kesulitan. Teringat ketika saya tergelincir jatuh semasa melangkah batu-batu yang licin dan nasib baik tidak mengalami kecederaan... sampai kesudah beliau asyik bertanya ok ke tidak. Bertapa perihatinnya arwah dengan semua ahli ketika aktiviti tersebut.

Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang baik-baik. Aaminn...

Sunday, December 11, 2016

hawa sejuk

As salam semua...

Dari semalam Mohd mula asyik bertanya bila la nak pergi Cameron Highland... rasanya sejak anak pertama lagi antara tempat yang kami suka lawati tanpa jemu antaranya ialah Cameron Highland. Banyak faktor daya penarik membuatkan kami semua ke sana, antaranya hawa sejuk, bunga bungaan, dan pemandangan yang menghijau melata...



Pernah bila negara dilanda jerebu tahun 2012. Pagi Melaka diistiharkan darurat jerebu... tanpa berfikir panjang tengahari itu juga kami terus naik ke sana... nyaman sungguh bila dapat bersarapan menghirup teh panas... sambil melihat bunga ros kembang mekar.... mmmm.




Setelah kata sepakat awal tahun ini semua adik beradik maka, kami semua akan berkonvoi ke sana esok sebanyak 4 kereta kami semua bergerak dari melaka. Di sana selama tiga hari dua malam... cukup la rasanya masa itu untuk berehat setelah 11 bulan bekerja. Bagi saya, kita perlu untuk memberi reward kepada diri sendiri selepas penat bekerja... bukannya apa cuma untuk memberikan semangat dan rechargeable kepada tenaga setelah memberi komitmen kepada kerja kita selama setahun ini...betul tak...

kami tidak perlukan semua itu... yang kami hanya perlukan ialah kasih sayang anak menantu cucu semua

As salam...

Hari ini banyak undangan majlis kahwin, ada jemputan kami sampai dari rompin pahang, maaf kami tidak dapat ke sana kerana masalah masa dan juga jarak. Tahniah kepada rakan-rakan yang telah bertambah ahli keluarga dengan kehadiran menantu. Semoga bahagia selalu... aaminn.

Bila sebut pasal mentua dan menantu, tak layak rasanya untuk saya bercerita, tetapi kalau dipanjangkan umur, diri rasanya ingin menjadi mentua seperti mak dan arwah ayah. Terasa dimata ini mak dan arwah ayah telah menjadi mentua yang terbaik di dunia... sungguh menyenangkan kepada semua menantunya.

Sikap mereka dulu kalau dilihat, bertapa mereka menerima seadanya dengan hati yang terbuka setiap kali anak- anak menemukan calon isteri/suami mereka.

Hati rasa sangat tersentuh apabila 2 tahun lepas mak dan ayah telah membahagikan semua barang-barang kemas untuk diagihkan kepada semua menantunya.

Ayat yang tidak akan lupa sampai mati oleh arwah ayah ialah... "kami tidak perlukan semua itu... yang kami hanya perlukan ialah kasih sayang anak menantu cucu semua".





Friday, December 9, 2016

hubungan silaturahim

As salam...

Alhamdulilah malam tadi kami selamat sampai ke kampung sempena majlis kahwin anak makcik. Tahniah fazlin dan pasangannya kerana telah melangkah satu alam yang lain, alam penuh cabaran dan mengukur tahap kematangan seseorg. 

Seronok dapat berjumpa sedara mara di kampung ni. Sekali sekala berjumpa, ya lah kalau masa lain tiada kesempatan tersebut, masing-masing sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab harian

Selalu ingatkan anak-anak bertapa pentingnya hubungan dan perlu mengenali siapa sedara mara mereka, yang mana satu nek lok, tok li, mak su, akak mas, uncle shah dan sebagainya... 

Pentingnya kenal sedara semua kerana kami mempunyai keluarga yang cukup besar, sebelah saya sahaja mempunyai 32 orang sepupu!.. boleh bayangkan kalau semua berkumpul...pasti gamat kan...

Bagi saya sangat penting hubungan keluarga ini apa tah lagi hubungan sesama manusia. Hubungan yang baik yang telah terjalin akan dijaga dan dibajai supaya subur sepanjang hayat.

Thursday, December 8, 2016

Ayah..... angah rindu ayah....

Assalamulaikum...

Tenang sungguh pagi jumaat yang penuh barakah hari ini, ditambah dengan hujan renyai yang mengundangkan lagi kesyahduan dan ketenangan pagi.

Tetiba teringat arwah ayah yang sangat dirindui. rindu dengan nasihat yang tak lekang dari bibirnya, rindu dengan suara yang sentiasa ceria memanggil anak cucu-cucunya, rindu dengan kasih sayangnya yang melimpah ruah untuk kami semua.

Hanya doa yang dapat angah kirim untuk ayah... semoga ayah tenang disana dan dilapangkan kuburnya dan semoga ayah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. aaminn.

Ayah.....  angah rindu ayah....

Wednesday, December 7, 2016

Cinta bukan selalu indah

Assalamulaikum semua...

Sekian lama menyepi, rasa buntu pula hendak memulakan bicara. diharap dengan coretan ini, perjalanan hidup akan dipenuhi dengan rasa kasih, cinta kepada keluarga, sahabat dan pastinya kepada sang Pencipta.

Bila sebut pasal cinta...

Cinta yang luhur perlukan pengorbanan. perlukan keikhlasan, tidak semua cinta itu indah isinya dan tidak semua cinta itu berakhir dangan kebahagiaan. Cinta itu sendiri sangat sukar untuk kita tafsirkan, huraikan dan terlalu misteri bentuknya. 

Cinta bukan selalu indah
Cinta tidak selamanya kekal abadi tetapi ada juga cinta yang bawa ke mati
Cinta juga tidak pernah menjanjikan keriangan tetapi adanya cinta akan mekar mewangi setaman. 

19 TAHUN KAMI HIDUP BERSAMA

 Assalamualaikum semua Lama rasanya saya tak menulis dalam blog ini... dengan kekangan masa maka bersawang la blog ini lama tak update... hi...