Monday, December 25, 2017

ALLAH SENTIASA BERIKAN SAYA KEKUATAN UNTUK SAYA BAHAGIAKAN SEMUA ORANG...

Assalamualaikum...


Inilah yang dinamakan kehidupan... ada masa kita bahagia dan ada masa kita penuh dengan dugaan. terasa diri ini ingin menulis pagi ini dengan penuh perasaan... apabila melihat pagi ini semua wajah-wajah disayangi hati merasa tenang. Yaya bertanya "ayah pergi office ke pagi ini...?" saya hanya senyum mengangguk.

Inilah wajah-wajah kesayangan saya yang saya sangat sayangi dan hargai... semuanya untuk mereka... tidak kira tenaga, masa dan wang ringgit... saya tidak berkira semua itu... asalkan mereka merasa bahagia di samping saya. Inilah saya... akan sentiasa berikan yang terbaik untuk sesiapa sahaja yang saya sayangi... 

Tetapi kadang-kadang... kita manusia biasa yang penuh serba kekurangan apa yang kita ada kadang kala terlalai dan alpa kita tidak pernah mensyukurinya dan hargainya. ini pastinya berlaku pada semua orang termasuk saya... dan ingat jika terlepas, pasti saya rasa terkilan yang amat sangat sedangkan yang pergi itu belum tentu yang akan hadir lebih baik lagi.


Saya selalu berdoa agar saya sedar dengan apa yang dikurniakan tidak kira apa sahaja samaada kecil atau besar dan yang ada di keliling saya... jika saya terleka dan terlalai apa yang berlaku akan dijadikan panduan dan ingatan agar pada masa kan datang tidak diulang kembali... seperti mana saya pernah post sebelum ini.  

Tugas saya hanyalah berikan yang terbaik untuk semua orang yang saya sayangi dan cintai... kerana merekalah semangat dan kehidupan saya. Selagi saya termampu saya berikan... selalu saya berdoa kepada Allah agar sentiasa berikan saya kekuatan dan kekayaan kasih sayang untuk saya bahagiakan semua orang. Insyallah












 

Wednesday, December 20, 2017

APA YANG KITA BUAT, ITU YANG KITA DAPAT...

Assalamualaikum...

Post saya kali ini agak sensitif... bukan menunding jadi pada mana-mana pihak... diharap sesiapa yang membaca post ini akan mendapat tauladan dan manafaatnya ... ia bukan la apa-apa cuma ingatan untuk kita semua

Kita di dalam dunia yang hanya hidup mungkin mencapai umur 70 tahun (jika lebih ia adalah bonus bagi seseorang insan yang telah diberikan) kalau boleh biarlah kita jalani kehidupan yang singkat ini dengan tenang dan bahagia. 

Biarlah kita hidup saling membahagiakan dan saling menyayangi... Tidaklah kita menyusahkan insan lain yang juga berhak untuk hidup dengan aman. 

Kita semua mempunyai keluarga yang perlu kita jagai dan sayangi dan kita pastinya meletakkan harapan untuk mereka juga mempunyai perjalanan kehidupan bahagia dan hidup sejahtera sampai la ke cucu cicit. 

Pantang juga bagi saya sesiapa yang cuba mengganggu perjalanan hidup anak-anak saya kelak...  tetapi sesetengah manusia, ada yang sanggup melihat orang lain tidak kira siapa bahkan darah daging sendiri hidup dengan tidak aman dan sehingga sanggup melihat ahli keluarga mereka bercerai berai sedangkan hidupnya boleh diteruskan.  


Sehinggakan sikap menyusahkan ini telah merubah kehidupan insan lain menjadi seorang yang dahulunya berhati lembut, penyayang dan kini sangat keras hatinya dan pendendam. Betul... kita boleh memaafkan apa yang telah dilakukan... tetapi siapalah kita seorang insan yang bukan Nabi dan Rasul. siapa lah kita yang boleh tahan apabila kita diuji berkali-kali dan kesannya memakan bertahun untuk dipulihkan.

Kadang-kadang kita benci melihat insan yang berwatakan tidak berhati perut, amarah, sanggup melakukan perbuatan yang kejam... sedangkan kita semua tidak tahu apa yang telah mereka jalani sehingga mereka bersikap demikian. ingat..! bahawa manusia ini apabila dilahirkan seperti kain putih... bukan terus baik atau sebaliknya. 

Pasti ada sebabnya...




Kesimpulannya di sini... apa yang telah berlaku tidak boleh diundur semula.. tetapi kita kena ingat bahawa Allah SWT kurniakan akal dan fikiran untuk kita timbang segala keputusan dan tindakan yang akan kita ambil dan apakah kesannya pada diri kita dan juga orang sekeliling. 








Wednesday, December 13, 2017

SUKA DUKA 2017

Assalamualaikum...

Tahun 2017 tidak lama lagi akan meninggalkan kita... banyak kenangan dan pengalaman sepanjang tahun ini yang merasakan sangat mematangkan diri ini. pengalaman pahit manis suka duka semuanya silih berganti... inilah yang dinamakan kehidupan. jika tiada dugaan maka seseorang itu akan menjalani kehidupan dengan hambar dan biasa sahaja setiap hari.

Pekerjaan saya yang menyebabkan setiap masa saya dapat kenalan baru membuka mata saya bahawa kita ini semua mempunyai pembawakan watak yang berbeza setiap orang... dari cara berpakaian sehingga la cara bercakap... semua itu saya amati dan saya nilai sendiri.




Yang pasti ilmu dan pengalaman akan membezakan cara pemikiran dan tindakan keputusan yang diambil. jangan kita melihat luaran seseorang yang biasa-biasa sahaja kita buat endah tak endah... tetapi apabila mereka mula berbicara atau melontarkan pendapat jangan pulak kita ternganga....


Thursday, December 7, 2017

KESEMPURNAAN DALAM SESUATU KERJA...

Assalamualaikum..

Tinggal beberapa minggu lagi kita akan melangkah ke tahun baru... banyak kerja yang telah diselesaikan dan KPI telah pun mencapai sasaran. Rasa syukur dan lega apabila dapat menyelesaikan semua yang dirancang di awal tahun berjaya dilunaskan dengan sempurna... 

Postmotem telah juga dilakukan untuk menambah baik mana-mana perjalanan program untuk panduan pada tahun hadapan.... saya seorang yang kalau boleh mahukan kesempurnaan dalam sesuatu kerja sehinggakan pada bahagian jamuan saya akan pastikan ia yang terbaik... jika ada sebarang kekurangan kita cuba baiki dan saya pernah dengar ungkapan yang menyatakan bahawa...  "kali pertama kita melakukan kesilapan jadikan ia sebagai panduan dan jika kali ke2 kita ulang kesilapan yang sama dan tidak mengambil apa yang pernah berlaku maka kita adalah seorang yang bodoh!"




Saki baki hari pada tahun ini, kepala ligat merancang untuk bercuti bersama anak-anak tercinta... kesian apabila mereka masih belum berjalan betul-betul cuti sekolah hujung tahun ini... itu pun sekali ketika mengikut saya bermesyuarat dapat la duduk di hotel selama 3 hari sedangkan saya sibuk dengan agenda jadual kerja sampai ke malam...huhu. Bagi saya perlu sekali kita pergi bercuti tak kira walaupun dekat untuk masa berkualiti bersama anak-anak.









Wednesday, December 6, 2017

ANAK-ANAK AYAH.... AYAH KENA BERSEDIA..!

Assalamualaikum...

Dah lama tak bercerita tentang anak-anak... bila dipikirkan tahun 2018 tidak lama lagi jadinya usia mereka bertambah setahun... Adam tahun depan berumur 15 tahun, manakala Yasmine akan menginjak umur 12 tahun, Insyirah pula akan masuk darjah 4, 10 tahun dan Mohd pula berumur 8 tahun akan masuk darjah 2.... Alhamdulillah sudah besar anak-anak ayah semua.


Pelbagai ragam dan karenah anda semua yang menyebabkan rumah kita sentiasa bising dengan suara gurau dan gaduh kalian semua... ada sahaja gelak ketawa dan jerit... nasib baik ayah membina rumah yang sesuai untuk membesarkan anda semua

kepada kalian semua...

Ayah kena bersedia untuk satu hari nanti anda semua akan melangkah keluar dari rumah kita untuk menuntut ilmu dengan lebih tinggi... itu perlu dan pasti!

Ayah perlu bersedia untuk satu hari nanti anda semua akan melangkah keluar untuk membina keluarga sendiri...

Ayah perlu bersedia untuk satu hari nanti anda semua akan melangkah keluar untuk mencari rezeki pula... 





tetapi apa-apapun...
 ingatlah bahawa ayah membina rumah kita dengan sepenuh perasaan, jiwa dan disulam dengan penuh kasih sayang... 
sejauh mana pun kalian akan pergi 
jangan lupa rumah kita!...  
tiada sesiapa pun yang boleh ganggu gugat kebahagian yang ayah bina dan cipta untuk kita sekeluarga.







TERPANCAR RASA KASIH DAN SAYANG SESAMA MAKHLUK DI ATAS MUKA BUMI INI...

Assalamualaikum..

Dah lama rasanya saya ingin postkan cerita tentang satu papan tanda yang saya ambil gambarnya ketika di kampung hari tu... satu papan tanda yang saya rasa tidak akan jumpa dimana-mana... 

Setiap kali melihat gambar itu di dalam handfone saya pasti saya akan lama menatapnya kerana ia memancarkan rasa sayang dan cinta kepada sesama makhluk di atas muka bumi ini... berapa ramai antara kita yang sanggup mengeluarkan kos untuk membuat papan tanda untuk si comel bawah ini...hihi.




Saya mempunyai sahabat yang sanggup berabis duit kerana kucing kesayangannya, sakitnya di bawa ke klinik pakar, makan yang dipilihnya dari yang terbaik dan disediakan bilik yang berhawa dingin untuknya... dan hasil dari kebaikan beliau, rezeki beliau tidak pernah putus-putus... Alhamdulilah. 


Tuesday, December 5, 2017

OUM MELAKA SESI SEPTEMBER 2017

Assalamualaikum...


Lama rasanya saya tidak update blog ini dek sibuk dengan pengurusan pentadbiran di pejabat dan juga keluarga... pelajar OUM Melaka sesi September 2017 ini juga nampaknya lebih akrab antara mereka sehinggakan mereka telah mengaturkan beberapa kali pertemuan untuk melakukan study group bersama-sama. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini... hanya tersenyum membaca sahaja di dalam group WhatsApp kita...




Cukup 3 kumpulan saya mengajar pelajar-pelajar baru OUM pengambilan tahun ini.  pelbagai ragam pelajar yang saya jumpa dan kenali... rata-rata semua mempunyai azam dan tekad untuk mengubah nasib masing-masing agar jadi lebih baik pada masa akan datang.

Apa yang saya dapat lihat... ada yang terus mara ke hadapan untuk semester yang berikutnya dan ada juga yang menangguhkan pengajian dengan pelbagai masalah dalam kehidupan masing-masing. Saya doakan walaupun ditangguh pengajian... tabahkan hati agar dapat menghabiskannya... kita mulakan dengan baik maka kita habiskan dengan baik juga... Insyallah saya doakan.











HAPPY WEDDING TO A WONDERFUL COUPLE

Assalamualaikum...


Cuti sekolah ini banyak sungguh jemputan kahwin yang diterima... hampir setiap hujung minggu ada sahaja jemputan yang diperolehi... SELAMAT PENGANTIN BARU.. khusus untuk Azad dan Mardihah yang sudi menjemput kami sekeluarga... meriah sungguh majlis, penuh adab sopan serta terpancar rasa bahagia dan tenang dimuka anda berdua... "BARAKALLAHU LLAKUM  WA BARAKA ALAIKUM"





Happy wedding to a wonderful couple
May love always all around you forever

Selamat berbahagia... 
Semoga menjadi keluarga Sakinah, Mawaddah, Warohmah
Selamat berbahagia dan menempuh hidup baru
Semoga menjadi pasangan yang sejati hanya maut yang memisahkan
Semoga dikurniakan keturunan yang soleh juga solehah
Semoga bahagia selalu...




Ingatlah... setelah anda mendirikan rumah tangga...
kehidupan anda baru bermula... 
pakatlah baik-baik dan jangan ada sebarang benda walaupun kecil disembunyikan... 

Kerana itulah antara sebab kenapa kita berkahwin iaitu kita sanggup berkongsi segalanya... kehidupan, kasih sayang semuanya bersama.

Saya pernah baca di dalam satu buku yang menyatakan bahawa satu perkahwinan itu memakan masa selama 6 tahun untuk kita kenali pasangan kita dalam dan luaran... terima seadanya pasangan kita. Insyallah kita akan bahagia dunia dan akhirat bersama-sama. 








Wednesday, October 18, 2017

KASIH SAYANG MELIMPAH RUAH - MAK LA WAH

Assalamualaikum...


Baru selesai majlis menguruskan kematian makcik yang saya rasakan lancar dan sempurna... kami semua sangat terasa kehilangannya... perasaan sedih apabila melihat tubuh yang dahulu kuat melayan anak buah yang pelbagai ragam. kasih sayangnya melimpah ruah untuk semua. dikalangan adik beradik makcik ibarat lilin yang sentiasa mahukan dahulukan adik beradik supaya gembira dan mesra.

Contohnya pernah majlis kesyukuran dibuat sempena masuk rumah baru saya... dialah orang paling awal sampai membantu mana yang perlu dan dialah juga orang yang paling lambat balik kerana membantu membersihkan rumah selepas majlis selesai.  saya merasakan kalau dia diberi hidayat untuk memeluk agama islam... dia lebih islam dari kita yang beragama islam!!!.

Kebaikannya tidak terhitung banyaknya... teringat dulu dia pernah bertanyakan tentang agama islam... tetapi semua telah ditentukan sehingga penghujung hayatnya masih tidak diberi Nur... apa yang boleh saya doakan supaya dia dibalas kebaikan yang telah dibuat selama ini... itu sahaja harapan saya.

Teringat lagi... setiap bulan apabila duit pencen masuk selalu juga beliau membelikan coklat dan gula-gula untuk anak-anak saya... kadang-kadang tergantung sahaja di luar pagar rumah... kami dah boleh agak siapa yang kasi. jika saya datang ke rumah beliau... tanpa rasa ragu-ragu saya boleh duduk baring tidak kira dimana saja kerana sangat bersih apalagi di dalam tandas... tidak pernah lagi saya jumpa tandas lebih bersih dari rumahnya.

saya selalu ingat pesan Arwah ayah yang menyatakan kita perlu baik dan berbuat baik dengan semua orang tidak kira dia beragama apa pun... kepada mendiang Mak La wah semua kebaikkan.... saya akan ingat sampai bila-bila. 

                            💚💚 Low Kwee Wah (1935 - 2017) dalam ingatan💚💚







 

Control macho....!!!

Assalamualaikum..

Post ini sepatutnya di buat pada minggu lepas... tetapi disebabkan ada komitmen lain sampai terlupa... huhu.. kini barulah ada masa untuk membukanya. saya ingin berkongsi pengalaman dimana saya telah berjumpa dengan doktor gigi kerana sebelum ini saya sering ada masalah gusi berdarah apabila memberus gigi di awal pagi. nasib baik dengan bantuan bekas pelajar sem Januari OUM... Pn Zarina maka saya memperolehi temujanji untuk berjumpa dengan doktor gigi dalam masa yang singkat. Sungguh Efisen staf di General Hospital (GH)  Melaka... ketika saya berada di klinik gigi tidak sampai 15 minit saya telah dipanggil. layanan mesra dan senyuman sentiasa terukir menyebabkan saya berasa tenang.

Melihat kemudahan yang terkini di klinik gigi Hospital Besar Melaka terasa kagum kerana kemudahannya setaraf klinik-klinik gigi swasta yang ada kini.  Betul lah yang gigi merupakan unsur yang paling keras dalam badan manusia...  ketika scaling gigi dilakukan rasa ngilu yang amat sangat... kena lah tahan... Control macho kan. Hihihihi...


Apa-apa pun usia dah masuk 40an ni kena la jaga semua aspek kesihatan. jujur saya telah mengambil supliment dari Brand Shaklee sejak usia 30an lagi. untuk gigi dan tulang saya mengambil supliment magnesium dan zink dan setakat hari ini saya sangat berpuas hati dengan kesan dalam pengambilan makanan tambahan ini.  


Terharu rasanya apabila rakan-rakan selalu mengingatkan saya bahawa semua penyakit akan mula timbul pada awal usia 40an... maka kena la berjaga-jaga... jogging saya akan amalkan pada cuti hujung minggu dan kalau tiada masa... paksakan diri juga untuk berjogging pada waktu malam. cukup 1 jam kita berjogging sudah memadai... semua ini kerana untuk menjaga kesihatan dengan niat jika tubuh yang sihat dapat beribadat lebih kepadaNya dan juga dapat melihat anak-anak membesar di depan mata.... Insyallah. 



Saturday, September 30, 2017

12k view!!!!...

Assalamualaikum...

Lama rasanya x update blog ini.. ya la dengan kekangan masa dan komitment yang lebih pada hal lain.. menyebabkan blog ini telah senyap seketika...oh ya..!! jutaan terima kasih kepada semua pelawat dan peminat blog saya ini... kerana bila dilihat sehingga blog ini diupdate view telah mencecah 12k... sekurang-kurangnya pembaca yang singgah ke blog saya ini mendapat sedikit manfaat dan info... yang berguna...

Kehidupan dijalan seperti biasa cuma melangkah ke bulan Oktober ini, saya akan berjumpa dengan pelajar sem. 1 yang baru... maka bermulalah tugas saya untuk memastikan mereka dapat semangat dan momentum untuk belajar... bukan senang meneruskan belajar sambil menguruskan kerja dan keluarga... mereka memerlukan fokus yang tinggi dalam menghadapi cabaran yang bertambah.


Tugas di pejabat seperti biasa sibuknya... cuma saya baru pulang dari ilkap Bangi dari menghadiri kursus pengadilan, kehakiman dan prosedur keselamatan ketika perbicaraan pesalah (okt). Satu ilmu yang sangat berguna dan ia adalah ilmu yang baru bagi saya... sepanjang kursus itu saya dapati yang semua peguam apabila mereka bertutur... mereka akan bertutur dengan berfikir sebelum bertutur.. atau meluahkan pendapat... kerana jika silap perkataan yang digunakan maka ia penentu menang kalah dalam satu perbicaraan...

Insyallah... saya cuba untuk update selalu blog saya ini... kadang-kadang semangat menulis tu betul-betul membara dan kadang-kadang semangat menulis tu sejuk membeku... hihi. Doakan saya semoga saya diberi kesihatan yang baik untuk terus berkongsi cerita dan kisah perjalanan hidup saya ini...




Thursday, August 10, 2017

BUKAN MUDAH SEPERTI SEMUDAH MELAKAR DIATAS KERTAS...

Assalamualaikum...


Tiada yang menarik boleh dicerita pada hari ini... cuma yang boleh dikongsi bersama ialah hari ini saya belajar bahawa apabila jikalau kita menjadi perancang belum tentu perancangan yang dibuat dapat dijalankan 100%... Kalau setakat membuat planning sahaja cukup mudah kerana ia bermodalkan ayer liur dan idea tetapi apabila ia dibawa untuk implementasikan dan dipraktikan baru kita tahu bahawa ia bukanlah semudah seperti lakaran di atas kertas.

Bagi saya... perancangan yang dibuat perlu mendapat persetujuan dari semua pihak, kita duduk semeja mendengar pendapat dari semua orang... tak salah walaupun kita mendengar idea walaupun dari kerani yang bergred rendah sekalipun... mungkin mereka mempunyai idea yang lebih hebat
  
Dengan perancangan yang ada maka kita akan cuba melihat sama ada ia berkesan untuk dilaksanakan... di sini baru sebenarnya kita dapat melihat satu perancangan kita itu berjaya  ataupun perlu diperbaiki  daan sebagainya. jika ia kurang berjaya sama-sama diperbaiki mungkin ada kekurangan dimana-mana... saya antara orang yang berada di atas perlu sentiasa ingat yang kita perlu berfikir secara rasional dan dengar masalah mereka.... 



Tuesday, August 8, 2017

SABAR LAH DIRI....

Assalamualaikum...

Hari ini banyak kerja dilakukan di luar pejabat... ke Seri Negeri dan kalau sempat ke Jasin... semua melibatkan tentang standard prosedur keselamatan... Insyallah semuanya berjalan lancar.

Kerja kami ini banyak melibatkan masa di dalam kenderaan... nasib baik Negeri Melaka ni kecik daerah pun hanya 3 sahaja kalau tak berhari baru nak buat satu pusingan lengkap melawat semua daerah macam negeri yang besar seperti Negeri Johor, Pahang dan Terengganu. Hihi...

Cuma rasa masa di dalam kenderaan terasa terbuang jika tidak melakukan perkara yang disukai... contohnya saya suka mendengar radio, cd, atau pun berhubung dengan rakan-rakan atau pun keluarga...inilah masa call tanya perkembangan terkini.

Saya doakan agar anda semua selamat ke mana jua destinasi... dan doakan saya agar selamat sentiasa kerana jujur saya seorang yang kurang sabar jika berada di atas jalan raya... huhu. Selalu ingat Arwah ayah berkata" Sabar itu separuh dari iman"... Sabar lah diri...




Friday, August 4, 2017

TENANG....

Assalamualaikum...

Salam cuti sabtu... seronok rasanya dapat bercuti luangkan masa bersama anak-anak tersayang... kuliah pun dah selesai... pelajar sekarang sibuk menyiapkan tugasan untuk dihantar secara online... bulan depan saya bersedia berjumpa dengan pelajar baru lain pula...

Terasa tenang dan berbunga-bunga dapat bersama anak-anak.. terutama apabila di dalam kereta... banyak cerita yang boleh dikongsi bersama... adam pastikan bertanya soalan fakta sains yang akan menimbulkan rasa tidak puas hatinya apabila saya dapat menjawab semua soalan yg ditanya... pastinya... subjek sains merupakan subjek yang paling saya minati... nampakkan kesan dari benda yang kita minati sampai bila-bila kita akan ingat...

Jom kita beraktiviti 2 hari cuti ini... isnin naik berkerja dengan semangat baru...










YEAY!!.... IT'S THE WEEKEND!!!

Assalamualaikum...

Bila sampai hari jumaat pastinya hati berbunga-bunga memikirkan dua hari masa akan diisi dengan aktiviti bersama anak-anak tercinta...

Banyak yang boleg dilakukan bila sampai cuti minggu contohnya ialah inilah masa cucu-cucu berjumpa dengan neneknya di kampung, bergotong royong bersama anak-anak bersihkan halaman rumah ataupun keluar makan bersama anak-anak... 

Pastinya, apabila bersama mereka ligat kepala ni memikirkan aktiviti yang menyeronokkan... Alhamdulilah... anak-anak pun mula terikut dengan cara saya... sehinggakan mereka pula bertanya apa yang ingin dilakukan cuti hujung minggu ini.  

Pastinya anda semua mempunyai perancangan bersama-sama orang tersayang pada hujung minggu ini... semoga kita dalam keadaan bahagia dan membahagiakan... seperti kata-kata Prof. Muhaya


Thursday, August 3, 2017

Kesungguhan Keikhlasan Dalam Memberi...

Assalamualaikum...

Hanya Allah yang akan membalas jasa baik kalian...
Murahnya hati kadang-kadang terasa diri ini begitu kerdil dengan melihat kesungguhan keikhlasan dalam memberi... tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerimanya...

Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan yang mempunyai sifat terpuji... sehinggakan tak terikut kebaikan yang telah mereka lakukan.

Bukan la saya ini jenis yang suka menerima pemberian dari sesiapa sahaja tetapi saya telah diajar dari kecil supaya sentiasa memberi  dan berkongsi kegembiraan bersama orang disekeliling saya... terutama bab makanan. Pastinya apabila kita memberi Allah akan membuka ruang rezeki untuk saya dan keluarga. 

Bayangkan... tidak terlintas di fikiran saya apabila menerima seberkas kuih dari pelajar saya ketika penat pulang dari pejabat... mana tidak terkejut menerima hadiah hari jadi walaupun dah 40an...  dan sebagainya. Bagi saya, semua itu akan kenang sehingga akhir hayat. Jika saya tidak dapat membalas kebaikan anda semua... InsyaAllah... Allah akan membalaskannya. 


Tuesday, August 1, 2017

Semangat Kemerdekaan Akan Terus Kembang, Dipelihara Dan Kukuh Disanubari

Assalamualaikum

Maaf dipinta kerana lama tidak menulis dalam blog ini... terlalu banyak komitmen yang perlu diberi perhatian (ini semua alasan... hahaha). Terima kasih kepada semua sahabat yang terlalu prihatin kerana setia membuka blog saya ini... ada yang membukanya hampir setiap hari sehinggakan bila saya tidak menulis dan diam di dalam blog ini ada yang bertanya khabar adakah saya dalam keadaan sihat... perhatian anda semua saya sangat hargai!.

Selepas sebulan kita menyambut bulan Syawal... kini kita melangkah ke bulan Ogos yang penuh dengan semangat kemerdekaan. Secara peribadi saya melihatkan sambutan Kemerdekaan dari tahun ke tahun semakin terhakis kemeriahannya. kalau dulu banyak kereta yang mengibarkan bendera termasuklah kereta Proton Iswara arwah ayah yang dilekatkan dengan bendera kecil... terasa bangga... 




Kini boleh dikira berapa banyak yang meletaknya. tidak tahu dimana silap adakah tiada bekalan bendera ataupun semua merasakan ia sesuatu yang remeh untuk dilakukan... nampak Generasi kini terlalu kurang menjiwai dan meraikan hari kemerdekaan... agaknya kalau lah ada pihak yang membuat pertandingan kibaran jalur gemilang dengan memilih kenderaan yang mengibarkan bendera untuk diberikan hadiah contohnya rm5k atau rm10k pasti semua akan mengibarnya...hihi

Teringat dulu-dulu masa saya masih kecil... pagi-pagi arwah ayah dah duduk di depan televisyen untuk melihat majlis perarakan hari kemerdekaan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di dataran Merdekan Kuala Lumpur... ketika itu terasa bangga dengan apa yang ada... itulah saya cuba praktikkan pada anak-anak saya...

Apa yang boleh saya harapkan ialah semangat kemerdekaan akan terus kembang, dipelihara dan kukuh disanubari generasi kini... Insyallah. Bagi saya bukan setakat 31 Ogos kita meraikannya tetapi sepanjang masa kita perlu hayatinya. 

Kalau ditanya lagu bersemangat petriotik yang mana satu saya sangat minati... secara peribadi saya merasakan saya dapat menyerap rasa petriotik apabila mendengar lagu ' 1 MALAYSIA". lirik yang penuh makna serta muzik yang segar dan bersemangat. 












Friday, July 14, 2017

OUMH1103 SEMESTER MEI MELAKA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Sabtu ini merupakan kuliah saya yang terakhir bersama dengan pelajar saya di Sem. Mei ini. mereka merupakan kumpulan pelajar ke-2 saya mengajar untuk tahun ini. satu pengalaman yang sangat menyeronokkan mengenali mereka semua yang datang dari pelbagai latar belakang dan pekerjaan dan saya rasa ini merupakan kelas saya yang sangat 1 Malaysia kerana semua bangsa ada di dalam kelas ini.

Seperti biasa group WhatsApp diwujudkan dan saya merasakan ini merupakan group WhatsApp yang paling ramai ahlinya iaitu seramai 42 orang ahli setakat ini. semangat mereka untuk membantu antara satu sama lain sangat saya puji... walaupun ada yang hanya memerhati dan membaca sahaja, ada juga yang hanya Personal Mesej (PM) dengan saya sahaja tetapi inilah variasi yang ada dalam group ini.

Sayang saya kepada anda semua seperti sayang saya kepada anak-anak saya yang perlu saya bimbing untuk memastikan anda semua terus berjaya sehingga lah anda semua dapat menggenggam segulung Degree... saya sentiasa doakan untuk anda semua. 

Ilmu yang saya berikan saya halalkan... kongsikan lah ilmu yang anda semua perolehi dengan rakan-rakan yang lain semoga kita semua akan mendapat manfaat dan keberkatannya.

Saya doakan anda semua akan terus berjaya dalam pencarian ilmu hingga ke penghujungnya.  jangan mengalah, jangan gentar teruskan pejungan ini... sesungguhnya BUKAN SENANG KITA NAK SENANG!!!

Sampai masanya saya akan left dari group ini... bukan tidak sudi berada di dalam group ini tetapi bayangkan berapa banyak group WhatsApp jika setiap semester saya mempunyainya... tidak mengapa yang penting semua telah pun mempunyai nombor telefon saya... ada masa kita akan bertanya khabar... Insyallah... ikatan hubungan silaturahim antara anda semua teruskan biar kekal sampai bila-bila. 








Saturday, July 8, 2017

9 JULAI 2017 BERSAMAAN 15 SYAWAL 1438 HIJRI

Assalamualaikum...

Hari ini 9 Julai 2017 Bersamaan 15 Syawal 1438 Hijri, hari Ahad genap sudah umur saya menginjak 40... pagi tadi buka sahaja mata... diri ini termenung sebentar memikirkan percaya atau tidak umur telah sampai 40an... terasa sangat cepat masa berlalu sehinggakan hati terasa sayu tidak dapat memikirkan apa yang akan berlaku 5/10  tahun akan datang... kalau ditanya apakah hadiah yang ingin untuk hari lahir... pasti saya akan menyatakan bahawa saya hanya mahukan jiwa dan cinta saya terus berada di depan mata saya... saya puas melihat insan-insan ini gembira, bahagia di samping saya sama-sama menjalani hidup ini.

Sesiapa yang kenal rapat dengan saya pasti akan tahu bagaimana jiwa dan hati saya ini... saya bukan jenis yang suka mencari masalah dengan sesiapa sahaja, saya bukan jenis yang suka menyusahkan orang lain... jikalau saya mampu melakukan sesuatu saya akan melakukan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain serta saya bukan jenis yang mudah untuk melupakan apa yang berlaku pada masa lepas... semua itu akan diingati sebagai panduan dan ingatan untuk saya menjalani hidup ini.



Sesuatu yang pasti dan saya akan bawa sampai kemati ialah sifat saya yang sanggup berkorban apa saja demi insan yang saya sayangi dan cintai... itu adalah pasti!!




Thursday, July 6, 2017

SANGAT MENGGODA!!!...

Assalamualaikum...

Sepanjang bulan ini banyak sekali jemputan rumah terbuka dan majlis menerima menantu yang diterima... saya sangat suka menghadiri rumah terbuka kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama... ialah masing-masing mempunyak komitmen masing-masing. memang kena jaga makan sepanjang bulan Syawal ini... kalau tidak pasti berat badan akan naik dengan sangat cepat...

Dulu masa kanak-kanak, kalau beraya di rumah orang keliling kampung... ada beberapa kuih wajib yang pasti akan dijumpai antaranya baulu, lidah buaya, batang buruk dan beberapa kuih lagi... tetapi kini, saya sendiri tercari-cari kuih-kuih ini dan sangat jarang dijumpai. yang pasti kelebihan kuih-kuih tradisional ini ialah tahan lama dan rasanya yang unik berbeza setiap satu serta cara pembuatan yang memakan masa yang agak lama.

Kuih tradisional yang paling saya gemari ialah kuih makmur yang menggunakan kacang tanah yang dikisar bersama gula ising untuk menambah rasa lemak kuih tersebut bagusnya kuih ini ialah ia sangat mudah untuk dibuat


Kuih Makmur


Ada juga kuih yang sangat sukar untuk membuatnya seperti kuih baulu yang memakan masa hampir setengah hari untuk membuatnya ingat lagi dulu masa kecil Atok Limah yang sangat suka membuat kuih ini. cara membakar masih menggunakan acuan tembaga yang diatas dan bawahnya diletak sabut kelapa untuk memasaknya... sangat sukar dimana menuntut kesabaran yang tinggi... tetapi rasanya lebih enak berbanding menggunakan cara moden...sungguh!!

 
Cara tradisional pembuatan kuih Baulu

Kuih Baulu

Pernah masa kanak-kanak... disebabkan bau kuih baulu ini sangat menggoda hampir-hampir saya mencuri untuk memakannya...hihi...berbanding baulu sekarang yang sangat keras sehingga boleh lekuk dinding kalau dibaling. hahah!!!... semoga kita semua dapat mengeratkan silaturahim sepanjang bulan ini... jaga makan, jaga pertuturan dan jaga perlakuan sepanjang menghadiri rumah terbuka, semoga kita bersama-sama mendapat rahmahNya. Aaminn



 

Monday, July 3, 2017

HIKING

Assalamualaikum...

Rutin seperti biasa masih terus dijalankan selepas cuti hari raya yang panjang... terasa diri ini bersemangat untuk memulakan kerja. Lepas cuti raya yang penuh dengan aktiviti makan menyebabkan berat badan bertambah sedikit... uhhhhhh... perlu mulakan diet selepas makan makanan hari raya yang pastinya banyak minyak, santan dah gula

Otak mula memikirkan cara untuk mengurangkan berat badan...antaranya hiking... dulu ada juga masa untuk aktiviti ini... tetapi bila fikirkan view yang sama setiap kali hiking... teringin gak nak berhiking di luar Malaysia.... contohnya Jepun, Canada, Indoesia dan banyak lagi....hihi... entah la bila dapat pergi.

Disamping melihat pemandangan tempat orang... secara tidak lansung membuka minda kita tentang kehidupan... saya petik penyataan ini dari sahabat yang sangat biasa ke luar negara...

Bagi saya... dengan anak-anak pun dah besar... serta segalanya telah kita sediakan... tak salah selepas ini kita ada masa untuk diri kita sendiri... kita buat apa yang kita idamkan yang masih belum kita laksanakan lagi...ada peluang dan rezeki... Insyallah






Wednesday, June 28, 2017

MEMBAWA KELUAR DOSA-DOSA TUAN RUMAH...

Assalamualaikum

Salam 5 Syawal 1438...


Hari ini hari ke- 2 saya bekerja... jalan masih lagi lengang, bayangkan kalau hari-hari biasa saya mengambil masa 50 minit ke sejam untuk sampai ke pejabat tetapi hari ini saya hanya mengambil masa 20 minit sahaja untuk sampai!!... alangkah seronoknya kalau begini selalu. Di pejabat masih ramai lagi staf dan pegawai yang bercuti raya... ialah ini lah masa untuk kita berjumpa ahli keluarga kalau  hari-hari biasa memang tiada kesempatan lah.

Teringat tradisi keluarga kami akan berkumpul pada hari raya ke-2 di mana paginya pukul 9 kami semua ke kubur untuk membuat tahlil kepada semua arwah yang telah tiada. kalau dulu arwah ayah yang akan mengetuai bacaan tahlil tetapi kali ini di ganti dengan Tok Chu. lepas habis 3 tempat bertahlil ringkas kami semua akan berkumpul di rumah atok... makan bersama-sama. Biasa menu kami ialah menu kampung... inilah masa saya dapat merasai lauk kampung seperti masak sayur pisang, masak lemak nangka, masak lemak umbut kelapa dan sebagainya... paling saya tak lupa ialah masak lemak umbut kelapa yang sangat jarang-jarang jumpa... kalau dingat boleh telan air liur...hihi

Balik sahaja ke Melaka mulalah kami menerima banyak undangan rumah terbuka (Open House)... 2 malam berturut sejak balik ni ada rumah terbuka... dah dijemput kalau tak hadir terasa bersalah... sebolehnya saya akan cuba hadir untuk semua undangan. Anak-anak pun dah mula mencari hari-hari yang sesuai untuk mereka menjemput kawan-kawan datang ke rumah... saya sangat suka kalau anak-anak menjemput kawan-kawan datang ke rumah kerana ini lah masa kita kenal siapa kawan anak-anak serta keluarganya sekali... 

Ada juga yang memberi idea untuk saya membuat rumah terbuka sekali gus, jadinya tidak perlu menjemput banyak hari... tetapi bagi saya sendiri bukan saya tidak suka untuk membuat rumah terbuka sekali gus menjemput rakan-rakan, sedara mara dan rakan sekerja tetapi saya sendiri nanti merasa tidak puas melayan semua tetamu yang hadir... secara peribadi saya lebih suka menjemput dengan memanggil beberapa keluarga dalam satu malam... saya akan dapat melayan tetamu dengan lebih baik.

Kepada sesiapa yang ingin datang ke rumah dijemput datang... Rumah kami terbuka kepada sesiapa sahaja... bukan setakat hari raya sahaja tetapi rumah saya ini terbuka sepanjang masa... Arwah ayah sendiri sangat suka kalau ada tetamu datang ke rumah kerana beliau selalu berpesan kepada anak-anak... bahawa tetamu yang datang ke rumah kita akan membawa keluar dosa-dosa yang ada di dalam rumah dan mereka akan membawa keberkatan kepada tuan rumah...

Rasullah saw ada bersabda,

"Sesungguhnya seorang tetamu yang datang mengunjungi seseorang, akan membawa rezeki untuk tuan rumah tersebut dari langit, apabila ia makan sesuatu, Allah SWT akan mengampuni penghuni rumah yang dikunjungi tersebut" 

Semoga kita semua akan mendapat rahmat dan keberkatan selalu... Insyallah










Friday, June 23, 2017

MAAF ZAHIR BATIN...

 
ASSALAMUALAIKUM

Saya memohon maaf sepanjang saya menulis di sini jika ada yang terasa sesungguhnya semua yang ditulis di sini merupakan gambaran ikhlas hati nurani saya menjalani hidup ini... 



sesungguhnya kita semua tidak lepas dari melakukan dosa... kita bukanlah manusia yang sempurna tidak melakukan kesilapan

Tetapi 

Kita diberi akal dan perasaan untuk menimbang baik buruk dalam mengatur corak hidup kita... 

Bagi semua yang mengenali saya... saya menyusun sepuluh jari meminta maaf segalanya... sila jemput datang ke rumah... pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk semua... akhir kata berhati-hati di jalan raya... semoga kita semua dilindungi di bawah rahmatNya... Insyallah.


Tuesday, June 20, 2017

NUR YASMINE SEINDAH NAMANYA...

Assalamualaikum...

Hari ini genap 11 tahun puteri kesayangan penyeri dalam keluarga kami... keletahnya membuatkan semua yang melihat merasa senang hati...begitu juga dengan anak-anak yang lain.



Dari minggu lepas beliau dah membuat permintaan kepada saya tempat makan mana nanti menjadi pilihannya bagi meraikan hari jadi...



Semua anak-anak kami raikan keluar makan bersama... dah menjadi satu tradisi apabila sampai hari lahir semua. Saya tidak biasakan memberi hadiah ketika hari lahir anak-anak...
kerana bagi saya memberi hadiah lebih bermakna ketika antara mereka memperolehi atau mencapai sesuatu yang dibanggakan... contohnya memperolehi markah tertinggi, mewakili sekolah dan sebagainya.



Berbalik kepada Nur Yasmine cinta kasih saya ini.... wajahnya secantik seharum bunga yasmine seorang anak yang sangat menyenangkan... sangat mudah untuk menjaganya ketika kecil... saya apabila melihat yasmine pastilah akan melihat diri saya di dalamnya kerana saya dan yasmine anak ke 2... banyak perangai yang sama antara kami.

Yasmine...

Ayah doakan kamu akan terus menjadi anak yang sentiasa menjaga nama baik ibu dan ayah... ayah tidak akan lupa apa yang telah kamu capai...dari kecil lagi telah menunjukkan kecemerlangan contohnya memperolehi tokoh pelajar ketika di sekolah Jaim dan juga tokoh pelajar tahap 1 di sekolah rendah... ayah merasa sangat bangga dengan kamu... Yasmine...




Ayah sentiasa doakan Yasmine akan berjaya dalam semua yang diciptakan... selamat dunia dan akhirat... dimurah dan dipertambahkam rezeki... disihatkan tubuh badan... dan diperkukuhkan iman... Insyallah




Bagi ayah... tiada apa yang ayah mahukan dari anak-anak ayah cuma mengucapkan rasa bersyukur kerana kamu semua membesar di depan mata ayah ini... itu sudah mencukupi... sesungguhnya anak-anak ayah perlu tahu bahawa kamu semua adalah kekuatan dan semangat ayah...




Wednesday, June 14, 2017

LEBIH 100 KAD HARI RAYA....!!!

Assalamulaikum

Buat kali pertamanya saya mendapat kad hari raya buat tahun 2017 ini, rasa teruja ketika membukanya... terima kasih kepada yang menghantar, sungguh nostalgia apabila melihat kad raya tersebut kerana teringat ketika kecil dahulu, arwah ayah yang sangat banyak menerima kad hari raya pernah setahun dia mendapat kad hari raya lebih daripada 100 kad... 

Kalau dahulu ada bermacam-macam jenis kad, ada yang biasa sehinggalah apabila dibuka akan memainkan muzik... bagi ahli politik inilah masa untuk mereka memperkenalkan ahli keluarga masing-masing dengan menyelit gambar keluarga serta ucapan... pernah ayah mendapat kad dari Menteri Besar Johor, Perak dan Sarawak... tetapi banyak-banyak kad, yang saya tidak akan lupa ialah kad yang ayah terima dari badan kebajikan masyarakat dimana kad yang dihantar oleh mereka gambarnya dihasilkan oleh pelukis istimewa yang melukis menggunakan kaki dan ada juga menggunakan siku...

Apa yang dilakukan kepada kad-kad tersebut ialah kami akan mengantungnya di ranting yang diambil di belakang rumah... kemudian kami akan meletak gabus kecil-kecil di dahan tersebut... dah macam pokok krismas rasanya... hihi.

Tetapi kini teknologi seperti WhatsApp, Telegram, Tweeter dan sebagainya pengganti kad ucapan... rata-rata akan menyatakan ia lebih mudah, menjimatkan dan cepat berbanding kad ucapan. Baru semalam saya postkan dalam blog menyentuh tentang iklan raya yang mengaplikasi WhatsApp dalam iklan mereka...

Apa-apapun kata-kata yang bermakna sangat memberi kesan kepada saya tidak kira cara bagaimana ia dihantar... pastinya menggunakan kad akan kekal sampai bila-bila berbanding di dalam WhatsApp yang mungkin akan di delete...


Untuk setiap kata yang tidak terjaga
Untuk hati yang disakiti
Untuk janji yang tidak dipenuhi
Untuk kesalahan yang tidak disengajakan
Untuk khilaf yang tidak disangka






Tuesday, June 13, 2017

TAK PANDAI MASAK....

Assalamualaikum...


Pagi tadi yaya memberitahu yang dia teringin makan kek batik yang ayah buat... saya hanya memberi senyuman tanpa mengiyakan atau menidakkannya... inilah saya kalau untuk anak-anak memang saya kalah...dulu masa mula-mula buat kek batik, terpaksa melakukan video call dengan mak teh yang berada di Pasir gudang untuk memastikan ia jadi dan sedap.

Saya jenis lelaki yang tidak pandai masak... sehinggakan nak masak nasipun kadang-kadang kurang berjaya... tetapi kalau difikirkan balik memang saya sangat rugi kerana tidak memperolehi ilmu memasak ini... zaman sekarang sesuatu yang perlu dan tidak pelik jika seorang lelaki pandai masak...lihat sahaja chef-chef di hotel-hotel terkenal semuanya lelaki kerana memasak ini bukanlah satu perkerjaan yang mudah sebenarnya.

Disini buat pertama kalinya diberikan resepi kek batik paling mudah di dunia... hihihi, bagi sesiapa nak ingin mencuba silakan... ilmu kita kongsi bersama untuk kebaikan semua...

Bahan-bahan...

1) 1 buku buttercup
2) 1 biji telur
3) 1 peket kecil milo
4) 1 tin susu pekat
5) 3 sudu besar serbuk koko
6) 2 bungkus biskut merry 

Cara membuatnya ialah...

- Cairkan buttercup dalam kuali (guna api dapur paling kecil)
- Masukkan kesemua bahan di atas dan pastikan biskut merry diletak terakhir 
- Setelah semua digaul sekata, masukkan ke dalam bekas (mampatkan)

Siap!!!... sedap dimakan ketika sejuk...

Saya akan pastikan kek ini akan menjadi kek yang sangat disukai oleh anak-anak... saya nak mereka akan berkata..."sedap lagi kek batik ayah buat" jika dia orang beli kek ini di luar... hihihi.



19 TAHUN KAMI HIDUP BERSAMA

 Assalamualaikum semua Lama rasanya saya tak menulis dalam blog ini... dengan kekangan masa maka bersawang la blog ini lama tak update... hi...